Monday, August 15, 2011

Ikhlaskah aku???

Bismilllahirrahmanirrahim..

Segala puji bagi Allah Rabbul A'lamin kerana memberi kesempatan untukku menulis di ruangan blog yg sudah lama kesepian. Bukan kerana sibuk dek urusan seharian, tetapi kerana beban ujian yg Allah SWT turunkan terhadap hati yg lemah ini menyebabkan semangat ini hilang buat sementara waktu. Sebagai seorang yg bergelar Muslim, saya tahu saya tidak patut terlalu bersedih tatkala Allah memberikan ujian, namun keluhan hati yang lemah iman ini tidak mampu ditolak. Seringkali hati saya bertanya, "Mengapa harus begini?", "Mengapa aku diuji dengan keperitan ini?". Astagfirullahalazim, bila difikirkan balik, saya seolah-olah mempersoalkan Allah atas segala ujian yg diberi. Betapa kurangnya iman dan yakin dalam hati terhadap janji Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasihani. 

Di dalam Al-Quran, Allah berfirman bahawa Dia tidak akan menganiaya hambaNya walau sebesar zarah pun. Apatah lagi menyeksa hambaNya dengan ujian yang melampaui tahap kemampuan hambaNya. "Ya Allah, Engkau Maha Bijaksana dalam mengatur aturan hidup setiap insan. Apa yang berlaku sudahpun tertulis di Luh Mahfuz. Sebagai hambaMu, aku harus redha dengan ketentuanMu, bukannya mempersoalkanMu. Maafkan aku Ya Allah."

Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasihani. Hamba yang ikhlas mencari redha Allah pasti akan dipermudah segala urusannya. Alhamdulillah, berkat sabar dan solat, serta bacaan ayat-ayat Allah, hati yang selalu berombak kencang, akhirnya tenang umpama air di tasik. 

Allah SWT menyapa hamba-hambaNya yang beriman di dalam Al-Quran, "Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar". Ya Allah, memang disaat mendengar ayat ini, saya terus mendapat ketenangan dan keyakinan. Memang benar, hanya dengan sabar dan solat sahaja, kita akan mampu menghadapi segala bentuk ujian yang Allah bagi. Jangan kata kita beriman selagi mana kita tidak diuji. Anggaplah ujian itu satu tarbiyyah dari Allah agar kita kembali kepadaNya.

Teringat kata-kata hamka, seorang pendeta dan ulama tersohor di suatu ketika dahulu yang pernah berkata bahawa "Perasaan ialah garam kehidupan,dengan perasaan manusia merenung,mencari ketenangan dalam pergolakan,kelihatan bahagia dalam sengsara dan jernih masa depan dalam kekeruhan yang 
ada sekarang. Imbangan nada tinggi,melengking dengan nada rendah mengendur"

Manusia yang mempunyai fitrah cinta yang dianugerahkan Allah pastinya tidak dapat lari dari ujian yang melibatkan perasaan. Memang benar, perasaan adalah garam kehidupan. Perasaan sayang, suka, duka, sedih, derita dan banyak lagi adalah satu proses yang diperlukan oleh setiap manusia. Perasaan-perasaan ini akan mengajar manusia tentang realiti kehidupan yang bukannya indah belaka. Pasti ada pasang dan surutnya. Yang penting, di saat kita jatuh, kita bangkit dengan kekuatan yang baru. Dan ketika ketika kita di atas, jangan mudah alpa dan leka kerana semuanya datang dari Allah.

Perasaan sayang yang sebenar harus diberikan dengan penuh keikhlasan. Tanpa keikhlasan, sayang itu hanyalah pada kata2, namun tidak pada hati. Biarlah insan yang saya sayangi tak mampu saya miliki, saya redha dan kekal menyayangi walaupun di saat awalnya sangat pedih. Bila menyayangi seseorang dengan penuh keikhlasan, lama-kelamaan , perasaan pedih akan hilang. Di satu tahap, saya bersyukur pada Allah kerana ujian yang menimpa mengajar erti keikhlasan yang sebenar. Allah hanya nak melihat sejauh mana saya ikhlas membuat sesuatu. Kalaupun tidak mendapat balasan dari apa yang telah kita usahakan dan korbankan, saya hanya mampu redha dan bersyukur. Itulah namanya erti hidup pada memberi. Jangan menjadi manusia yang mengharapkan balasan atas setiap pertolongan mahupun kasih sayang yang kita tunjukkan. Biarlah Allah sahaja yang memberikan 'reward' kepada kita.

Ingatlah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda; Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat tubuhmu dan tidak pula melihat ketampananmu tetapi Allah melihat hatimu. (Riwayat Muslim)

Semoga diri ini terus diberikan kekuatan oleh Allah. Walau apa pun berlaku, La TAhzan, Innallaha Maana.sekian, assalamualaikum.

1 comment: