Friday, August 19, 2011

Dan bukankah selepas hujan Allah turunkan pelangi

Assalamualaikum WBT,


Subhanallah Wabihamdihi Subhanallahilazim


Salam Ramadhan, Salam selautan kesyukuran buat Allah SWT kerana masih memberi peluang untuk diri kerdil ini untuk terus melangkah, bernafas sambil menikmati segala pemberian di bumi Allah ini. Sudah 19 hari menjengah ke bulan penuh barakah ini, dan sepanjang itu jugalah dapat merasai nikmat ibadah kepada Rabbul A'lamin. Walaupun sedikit nikmat sihat Allah tarik,demam selsema dan batuk, namun sebagai hamba, harus sentiasa ada syukur kerana sakit itu adalah kafarah dosa. Alhamdulillah, belum sampai tahap mudarat sehingga kena batalkan puasa. Jazakallahukhairankathira juga buat sahabat yg menghulurkan ubat yg serba sedikit membantu memulihkan. Itupun atas izin Allah Azzawajal.


Pejam celik pejam celik sudahpun masuk minggu ke 5 semester ke-2. Hari-hari sudah mula sibuk dengan persiapan untuk presentation dan juga assignment. Pantas sungguh masa berlalu. Bila diimbau kembali, terasa masa yang Allah kurniakan banyak yang dibazirkan. Benar firman Allah dalam surah Al-Asr.


"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran". (Al-Asr)


Sisa umur berkurang setiap hari. Dosa-dosa pula makin bertambah. Terasa diri ini masih jauh dengan Allah. MAsih banyak perkara yang harus dibaiki dalam diri ini dalam perjalanan menuju Illahi. Ya Allah, bantulah hambaMu ini.


Kusangka Panas hingga ke petang, Rupanya hujan di tengah hari


Dalam kehidupan, tidak semua yang kita harapkan akan tercapai. Kadang-kadang, pasti ada yang terhalang di tengah jalan. Manusia hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan. Tidak semua benda akan berakhir sebagaimana kehendak kita. Walaupun seribu daya kita usahakan, ketetapan Allah akan tetap berlaku jua. Sama ada kita suka atau tidak, kita harus redha dengan ketentuanNya. Yakinlah, bahawa setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Dan yakinlah, bahawa Allah menetapkan yang terbaik bagi hambaNya. Sesungguhnya Allah tidak akan menganiaya hamba-hambaNya kerana Allah SWT sentiasa bersifat Maha Pemurah dan Maha Pengasihani.


Firman Allah yang bermaksud,


“Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Surah Yunus, ayat 44).


Firman Allah SWT lagi,


“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seorang pun walaupun sebesar zarah.” (Surah An-Nisa’, ayat 40).


Sebagai hamba Allah yang beriman, harus lahir rasa syukur dalam hati tatkala diberi ujian oleh Allah. 







Sebenarnya jika ada kepayahan dan kegagalan berdepan dengan sesuatu perkara yang mungkin membuat kita kecewa dan putus asa, itu adalah pengajaran. Ada sesuatu yang perlu kita renungkan dan sekali gus pelajari daripada kepayahan atau kegagalan itu kerana pasti ada hikmah di sebaliknya.
Menurut Jaddal Atiff dalam tulisannya, hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh didikan langsung daripada Allah melalui ujian-Nya.
Sehubungan itu, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan seorang hamba itu berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Sementara dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Musibah tidak datang begitu saja tanpa ujian. Allah menurunkan musibah (besar atau kecil) untuk menguji hamba-Nya sejauh mana mereka tabah, sabar dan reda.
Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata, ada ujian untuk kesabaran, ujian untuk bersyukur, ujian untuk memberi petunjuk, ujian sebagai hukuman, ujian sebagai cubaan, ujian untuk memajukan diri dan ujian supaya mendapat pahala. Siapa yang tidak merasakan ujian atau musibah, maka dia tidak mengetahui tahap nilai dirinya.
Allah berfirman yang bermaksud:
Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami adanya orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita keadaan kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)
Pernah suatu hari, Saad bin Abi Waqash berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah yang paling berat cubaannya? Rasul menjawab: Para nabi, kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya; jika agamanya bagus di dalam lubuk hatinya, maka dia akan menjadi orang yang berat ujiannya, dan jika dalam agamanya agak tipis, maka sesuai dengan itu pula ujiannya. Begitulah ujian hidup, ia akan terus bersama seorang hamba, sehingga ketika ujian itu pergi meninggalkannya, maka dia bebas berjalan di muka bumi ini tanpa ada kesalahan lagi.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Sementara itu, Anas meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah berfirman: “Jika Aku menguji hamba-Ku dengan dua benda yang paling dia sayangi, lalu dia bersabar menghadapinya, maka Aku akan menggantikan keduanya dengan syurga. Yang dimaksudkan dua benda itu adalah kedua matanya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jelaslah Allah menimpakan musibah kepada seseorang anak Adam itu ada hikmah dan ujian-Nya. Justeru itu sesiapa yang ditimpa musibah hendaklah sabar menghadapinya.
Firman Allah yang bermaksud:
“(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang sabar dengan memberikan pahala lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 96)

Oleh itu, apabila berhadapan ujian, jangan buruk sangka sebaliknya hadapinya dengan reda serta keyakinan bahawa selepas kesusahan itu akan ada kemudahan menanti.







1 comment: